02 Julai 2011

Dinar Emas Akan Menjadi Realiti Tidak Lama Lagi


Oleh Zuhaimy Ismail

Jabatan Matematik, Fakulti Sains
Universiti Teknologi Malaysia
Skudai
JOHOR

Perkembangan usaha untuk mengebalikan dinar emas ke tangan umat Islam sungguh menggalakkan di rantau Nusantara. Usaha ini juga berjalan di Indonesia. Pelancaran Wakala Yayasan Melaka dan perjanjian persefahaman antara Yayasan Negeri Melaka dengan Islamic Mint Sdn Bhd membuka begitu banyak peluang kepada umat Islam khasnya bagi rakyat negeri Melaka. Kini rakyat Melaka dengan mudah mendapatkan dinar emas mereka sebagai simpanan, mas kawin, berzakat dan pelaburan.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini kita dapati harga minyak melonjak naik dan ini menyebabkan ketidakstabilan ekonomi dunia. Kenaikan harga minyak menyebabkan rusuhan di Nigeria. Malaysia juga mengalami kenaikan harga minyak petrol. Pada waktu yang sama kita dapati banyak pula barang keperluan turut naik. Ini menyebabkan lebih banyak wang kertas diperlukan bagi mendapatkan sesuatu komoditi dan ini sudah pasti akan diatasi dengan mencetak lebih banyak kertas atau menjana lebih banyak unit dalam akaun. Walau apa yang berlaku, khasnya dalam keadaan yang tidak stabil kita dapati harga emas tetap meningkat dibandingkan dengan wang kertas Dolar Amerika.

Kajian yang dijalankan di Universiti Teknologi Malaysia terhadap harga emas sejak tahun 1932 dibandingkan dengan dolar Amerika, mendapati harganya berubah dengan tren (trend) yang sentiasa meningkat. Jika harga satu dinar dalam tahun 1999 bernilai RM125.00, kini harga sudah meningkat kepada RM239.00 setiap satu dinar. Adalah sesuatu yang sangat wajar untuk umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia membahagikan sebahagian daripada simpanan mereka dalam bentuk dinar emas. Sebagai contoh, katalah setiap kakitangan kerajaan menyimpan setengah dinar setiap bulan. Jika kita ada hanya 500,000 kakitangan kerajaan yang menyimpan setengah dinar, ini bermakna sejumlah 1.0625 tan emas akan ditempa untuk menjadi dinar emas. Emas dari negara luar perlu dibawa masuk ke dalam negara kita untuk memenuhi permintaan ini. Dinar emas akan memberi satu kekuatan kepada umat Islam di negara ini dan pada waktu yang sama akan melemahkan dolar Amerika. Sedikit demi sedikit, kekuatan ini akan bertambah dengan diikuti pula oleh beberapa buah negara Islam yang lain, sehinggakan pada suatu masa terdekat umat Islam sudah mula mampu menyatakan “TAK NAK” kepada dolar Amerika.

Usaha mengembalikan dinar emas ini mestilah diambil dengan lebih sirus oleh semua pihak. Kita dapati isu dinar emas sebenarnya tidak terikat hanya kepada menempa dinar emas dan dirham perak sahaja. Tidak cukup dengan hanya mengadakan dinar emas tanpa adanya mekanisme pelaksanaan, program penggunaan dinar dalam sistem pembayaran zakat, pertukaran dari dinar kepada Ringgit yang lebih adil dan sebagainya. Jika sistem kapitalis telah terbentuk dengan disokong oleh sistem pemerintahan berteraskan sistem demokrasi, sistem kewangan seperti wang kertas dan institusi perbankan, yang didokong oleh sistem ekonomi yang begitu kompleks, umat Islam perlu membangunkan sistem alternatif yang berteraskan kepada sistem Amirate, wang dinar emas dan dirham perak, Zakat, Sadakah, Wakala dan perdagangan dengan pelaburan qirad yang jauh lebih mudah.

Umat Islam seharusnya sudah mula menolak dolar Amerika dan kembali menggunakan dinar emas dan pihak kerajaan pula menggunakan dinar emas sebagai wang sandaran kepada wang kertas (buat permulaan). Apabila ini berlaku, kita pasti akan mendapati kesan yang mendadak terhadap harga emas. Menurut Islamic Mint Sdn Bhd, sehingga kini dinar emas yang telah ditempa di negara kita mencecah hampir satu tan metrik. Ini sungguh menggalakkan dan sudah pasti jumlah ini akan terus meningkat dan secara langsung akan meningkatkan lagi harga emas. Oleh itu amatlah wajar umat Islam mula menyimpan dinar emas sebagai salah satu bentuk pelaburan.

Peperangan di Iraq misalnya menyebabkan wang kertas dinar Iraq tidak laku dan terhapus nilainya secara tiba-tiba. Ini tidak mungkin berlaku kepada dinar emas kerana dinar emas ada nilai intrinsik. Kebelakangan ini kekacauan berlaku bukan sahaj di Iraq tetapi di banyak negera Islam yang lain. Setiap hari dalam akhbar, kita akan dapati berita umat Islam di bunuh di Iraq, Israel dengan jet penjuangnya mengebom umat Islam Palestin, kanak-kanak, orang tua dan wanita terbunuh, askar Israel menggunakan peluru getah menembak kanak-kanak dengan sengaja membutakan mata mereka. Seramai ribuan kanak-kanak Pelestin yang memerlukan mata palsu. Di Pakistan bom dicampak ke dalam Masjid, di Kashmir umat Islam dibunuh dengan menamakan pejuang Islam sebagai pengganas, berpuluh dibunuh di Filipina dan menamakan mereka pemisah dan seterusnya sehingga kesempadan negara kita, umat Islam diburu dan dibunuh. Penyakit yang dialami umat Islam sekarang adalah penyakit penindasan dan penghinaan global secara sistematik oleh kuasa kufar terhadap agama dan umat Islam. Jika diteliti, kita dapati ini tidak dapat dipisahkan daripada satu isme yang dinamakan kapitalisme. Ruang ini mungkin bukan untuk kita bincangkan secara mendalam tetapi sekadar menyedarkan umat Islam untuk bangkit kembali kepada ajaran Islam sebenar mengikut amal Madinah yang telah terbukti berjaya membangunkan komuniti menyembah Illahi yang Esa.

Usaha harus diteruskan bagi membebaskan umat Islam dari terus tertindas. Untuk untuk mengatasi masalah ini memerlukan jihad. Mungkin jihad disini bukan lagi dalam bentuk tradisional lagi tetapi harus berjuang menegakkan kembali ketaatan kepada Allah s.w.t. dan mengembalikan pembayaran zakat mengikut syariat yang ditetapkan Allah s.w.t. dan Rasul s.a.w., penghapusan cukai dan membebaskan umat Islam daripada bahana riba. Untuk ini umat Islam perlu dididik dengan pengetahuan yang mendalam mengenai sistem yang ada pada Islam dan sistem yang diamalkan oleh kufar. Tanpa pengetahuan ini umat Islam akan terus tertipu dan tidak dapat membuat perbezakan.

Kesilapan umat Islam mungkin kerana terlalu mengikut cara hidup orang kufar dan memberikannya tempat yang tinggi. Cara umat Islam memimpin kini hampir semuanya telah mengikut cara mereka. Umat Islam telah memilih cara demokrasi untuk memilih pemimpin sehinggakan ada yang memperagakan agama Islam supaya dipilih lima tahun sekali, kita berdagang menggunakan wang kertas walaupun berdagang sesama sendiri. Kepimpinan umat Islam kini seolah-olah kaku dan terikat dengan sesuatu kuasa yang tidak dapat dikenalpasti. Tetapi jika kita mengambil sedikit masa, sudah pasti kita akan nampak dengan jelas akan kuasa yang digunakan. Mereka tidak berupaya untuk menyuarakan sesuatu yang boleh diterima semua orang, sesuatu yang boleh membawa kepada perubahan.

Mungkinkah penyakit nasionalisme telah terlalu sebati dengan umat Islam sehinggakan apa yang berlaku kepada saudara Islam seperti penindasan dan pembunuhan di negara Islam lain sudah tidak memberi makna lagi. Selanjutnya juga mungkin ini berpunca daripada kesan sistem demokrasi yang menyekat pemimpin Islam daripada bertindak kerana sebarang tindakan perlu mendapat persetujuan majoriti! Melalui demokrasilah sistem perbankan dan institusi kewangan barat akan mengambil tempat di mana-mana negara yang telah mengistiharkan kemerdekaan. Ini terbukti, apabila Vietnam berjaya menewaskan Amerika, dan ingin membangunkan negaranya, syarat pertama yang diminta oleh IMF dan Bank Dunia adalah penubuhan bank pusat supaya wang kertas boleh disalurkan dan seterusnya membuka sistem perbankan kepada bank dunia yang lain. Inilah modus operandi kekuasaan kufar dengan menggunkan ekonomi dan kewangan bagi melakukan penaklukan negara tanpa ketenteraan.

Sekiranya rakyat Pelestin berjaya mendapat kebebasan dan memerintah sendiri, begitu juga dengan negara Algeria atau Chechnya, mereka akan memulakan proses pemerintahan dengan membentuk perlembagaan, demokrasi berparlimen, membuka bank pusat. Negara Afghanistan jelas menunjukkan kepada kita bagaimana kuasa barat memberi kebebasan. Mereka mebuka bank pusat untuk meminjam dari IMF dan kini memasukkan demokrasi sebagai cara pemerintahan. Mereka kemudiannya akan mencetak wang kertas dengan bangganya dan memohon bantuan IMF dan Bank Dunia untuk membangunkan negara selepas dirosakkan oleh kuasa barat melalui peperangan. Sudah pasti permohonan ini akan mendapat kelulusan dengan faedah yang pasti tidak mungkin untuk dilupuskan oleh sebuah negara yang tidak mantap pendapatannya. Mereka memastikan supaya kadar faedah terus menekan dan pada waktu yang sama supaya mengadakan ‘pasar bebas’ yang akhirnya menyerahkan komoditi, kekayaan dan tanah kepada pelabur asing. Walau apa juga parti Islam yang diperjuangkan semasa berkempen, semua itu akan dibuang demi memenuhi kehendak kuasa IMF dan Bank dunia berserta koncu-koncunya. Ini tidak ada penyelesaian politik. Ini kuasa mutlak yang diserahkan kepada bank dan institusi kewangan dan bukan isu politik. Sistem perbankan menguasai seluruh instutusi antara nasional seluruh dunia sekarang ini.

Kini, dunia sudah mula sedar akan helah dan tipu daya IMF dan Bank Dunia. Malah ada yang menyatakan bahawa IMF itu sediri merupakan sebuah institusi yang muflis. Negara Barat tahu dan sedar bahawa negara Asia kini telah mengerti tipu helah mereka. Mereka berkuasa melalui proksi. Ini jelas dengan usaha kerajaan China untuk mendapatkan komoditi seperti nikel, kupram, aluminium dan zink dari seluruh dunia. Ekonomi negari China berkembang begitu pantas sehingga merungsingkan kuasa dunia seperti Amerika dan Eropah. Suara dengan lantang kedengaran mengenai ketidakadilan dari segi perdagangan kerana wang Yuan China rendah dibandingkan dengan dolar Amerika dan ini menguntungkan perdagangan China. Negara Barat mengesa supaya negeri China membebaskan ikatan Yuan daripada dolar Amerika dan bebas diperdagangkan dibursa saham antarabangsa. Apa yang diminta hanyakan supaya pada suatu hari nanti jika wang ini tidak diikat dengan dolar, spekulasi Yuan dengan mudah boleh menyusutkan nilainya tanpa ada kaitan dengan dolar Amerika. Dengan ertikata lain, wang hendak dipermainkan nanti bukan dolar Amerika tetapi wang negeri China. Ini helah mereka! Kita tahu dan China tahu! Tetapi berbagai helah akan digunakan bagi memaksa China tunduk kepada kehendak mereka termasuk memburukkan negara itu dengan rekod hak asasi manusia, pencemaran, kemiskinan dan kebebasan bersuara, demokrasi dan sekatan perdagangan. Inilah yang dikatakan penyakit yang dibawa bersama oleh sistem kapitalis.

Negara China terus mengambil langkah berjaga-jaga. Kini China telah mula menjual emas berbentuk jongkong (gold bar) kepada rakyatnya dan pada waktu yang sama mengeluarkan koin panda. Ini menjadi satu kekuatan kepada rakyat China jika berlaku sesuatu yang tidak diinginkan kepada Yuan. Rakyat China memang sudah lama mempunyai tradisi memberi nilai yang tinggi kepada komoditi emas, malah sehingga ke hari ini pun kita dapati majoriti kedai emas di Malaysia adalah dimiliki oleh peniaga China. Oleh itu usaha kerajaan China supaya rakyatnya boleh memiliki emas dapat diterima dengan mudah. Apakah kita di Malaysia harus mengikuti jejak langkah bijak ini? Sudah pasti dinar emas sedia menanti untuk seluruh rakyat Malaysia.

Kini emas kembali semula. Ramai pemikir bebas dari seluruh pelusuk dunia telah menyuarakan supaya emas digunakan kembali sebagai wang dan dapat mengembalikan erti wang yang benarnya. Kini jumlah wang kertas dalam edaran telah meningkat begitu banyak sejak sedekad (10 tahun) yang lalu menggunung banyaknya, dan mencapai angka yang tidak boleh dikaitkan dengan alam nyata lagi, dengan peningkatan dalam percukaian terhadap manusia, pengangguran, kebuluran dan kemiskinan,jenayah turut meningkat dengan kadar yang sama. Ini adalah hasil sistem wang kertas yang diberikan kepada pihak bank dan ‘ahli politik’ yang banyak menyumbang kepada masalah umat sekarang ini di seluruh dunia. Umat Islam mesti tahu ini suatu kenyataan dan bukan spekulasi atau imaginasi lagi.

Thomas Jefferson pernah mengeluarkan kenyataan "Institusi perbankan lebih berbahaya kepada kebebasan kita daripada bala tentera musuh kita. Penjanaan wang mestilah dibebaskan daripada pihak bank”. Kenyataan ini membawa kita berfikir bahawa pada waktu perjuangan bangsa kulit hitam di Amerika lagi, kesedaran akan penguasaan bank telahpun wujud. Penjanaan wang oleh institusi kewangan melalui faedah atau riba telah menjanakan inflasi yang banyak telah memberi kesan kepada masalah sosial dan moral masyarakat kita. Jika umat Islam terus dipaksa menggunakan kepingan wang kertas sebagai alat pertukaran pada waktu yang sama wang ini sentiasa disusut nilainya dari pelbagai punca inflasi, sebenarnya kita telah tertipu. Bukan sahaja umat Islam dicukai berlebihan tetapi pada waktu yang sama tertipu oleh sistem wang kertas dunia. Untuk melindungi umat Islam, kerajaan negara-negara Islam mesti mula memikirkan supaya dinar emas dan dirham perak dikembalikan sebagai matawang atau setidak-tidaknya membenarkan dinar emas ini berada seiring dengan matawang negara masing-masing. Dalam masyarakat dunia sedang sibuk menyuarakan dan memperjuangkan demokrasi, tidak pernahkah masyarakat kita memikirkan untuk mempunyai kebebasan memilih wang selain wang kertas sebagai alat pertukaran. Jika manusia diberi kebebasan untuk memilih, mereka akan memilih sesuatu yang mempunyai nilai intrisik. Jika manusia diberi kebebasan untuk memilih antara wang kertas dengan dinar emas mereka pasti akan melilih dinar emas. Ini amat penting kerana dinar emas memang sesuatu yang terdapat dalam ibadah umat Islam.

Di Dubai, dinar kini telah ditempa dengan banyaknya bagi permintaan dari negara-negara Arab. Di Malaysia, Islamic Mint Sdn Bhd bersama IGDExchange Practices begitu aktif menempa dan mengedarkan dinar emas di atas permintaan yang tinggi. Sokongan kuat Yayasan Melaka yang dipimpin oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohd Ali Rostam, Ketua Menteri Melaka ibarat pemangkin bagi merealisasikan kembalinya dinar emas di negara kita. Usaha mengembalikan dinar emas ini menunggu masa umat Islam sendiri yang mengangkatnya sebagai sesuatu daripada sejarah mereka dan mahu menegakkan kembali. Para Mufti, para Kadhi, Imam, pegawai masjid dan mereka yang berpengaruh dalam masyarakat harus memulakan program celik dinar emas dikalangan masyarakat supaya apabila ianya berlaku secara meluas, masyarakat kita tidak terus ketinggalan. Harus diingat bahawa dinar emas adalah untuk seluruh manusia tidak kira agama dan bangsa, tetapi umat Islam mestilah memastikan dinar emas ini terus dikuasai oleh kita kerana ianya adalah sebahagian daripada ibadah. Dinar emas insyallah akan menjadi sesuatu senjata kekuatan kepada umat Islam untuk bangkit semula sebagai umat yang membimbing manusia lain. Umat Islam mampu untuk menjadi khalifah dimukabumi ini, insyallah.

1 ulasan:

insidewinme berkata...

Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kita perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu